Saturday, October 23, 2010

MENGUBATI RASA SEDIH DAN SUSAH HATI KETIKA MENGHADAPI MUSIBAH

Nabi Muhammad SAW bersabda : “Tidak seorangpun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Ya Allah, berilah aku ganjaran pada musibahku ini dan berilah aku gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya.” kecuali Allah memberi ganjaran kepadanya pada musibahnya itu dan menggantikan untuknya yang lebih baik daripada musibah itu.   H.R. Ahmad.

Allah berfirman, “Tiada satu bencana pun menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepada kam. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggaka diri.” (Surah Al-Hadid : 22-23)

Untuk mengubati rasa sedih dan susah dalam menghadapi musibah, dapat pula ditempuh dengan beberapa cara berikut :
  1. Memerhatikan bahawa walaupun dirinya ditimpa musibah, namun Allah masih meninggalkan nikmat yang sama nilainya bahkan lebih tinggi daripada musibah yang dideritainya.jika ia sabar dan redha terhadap musibah itu, sudah merupakan kekuatan yang besar untuk menghilangkan kesusahan dan kesedihan. Jika Allah menghendaki, ia akan memberikan yang jauh lebih baik daripada sesuatu yang hilang dari tangan kita.
  2. Memadamkan rasa susah dan sedih dengan melihat kesabaran orang lain yang kena musibah. Ketahuilah bahawa setiap ada keuntungan di sana telah ada cubaan; setiap ada kemudahan, pasti ada kesulitan.
Ibnu Mas’ud RA berkata : “Bagi setiap kegembiraan ada kesedihan dan tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi oleh kesenangan kecuali tempat itu juga diisi oleh kesedihan.”
  1. Mengetahui bahawa kesedihan itu tidak dapat ditolak, melainkan hanya dapat dikurangi. Pada hakikatnya, kesedihan itu adalah lawan daripada penyakit.
  2.  Menyedari bahawa hilangnya pahala kesabaran terhadap musibah yang sedang dihadapi – yang merupakan rahmat dan hidayah Allah terhadap orang yang sabar menerima musibah – pada hakikatnya merupakan musibah yang paling besar.
  3. Menyedari bahawa hanyut di dalam kesusahan ditimpa penyakit memberikan kepuasan kepada pihak musuh, menyenangkan syaitan, menghilangkan pahala dan melemahkan diri. Adapun jika bersabar seraya mengharapkan redha dan pahala dari Allah akan mencampakkan syaitan jauh-jauh, mengecewakan pihak musuh, menyenangkan teman sejawat dan menambah kekuatan diri.
  4. Menyedari bahawa berbuat sabar serta mengharap redha Allah jauh lebih ringan daripada tenggelam dalam kesedihan dengan segala akibatnya.
  5. Menggembirakan hati dengan kegembiraan mengharapkan ganti yang lebih baik dari Allah atas musibah yang menimpa diri. Sesungguhnya setiap sesuatu itu pasti ada gantinya, kecuali Allah.
  6. Menyedari bahawa ganjaran diperoleh seseorang juga dinilai dari caranya menghadapi musibah. Jika ia redha, maka Allah pun redha kepadaNya dan jika ia gusar maka Allah pun murka kepadanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Sesungguhnya Allah apabila mencintai suatu kaum, Ia menguji mereka (dengan musibah). Maka barangsiapa redha terhadap musibah itu, maka ia berhak mendapat keredhaan Allah. Dan barangsiapa murka (tidak redha), maka baginya juga kemurkaan Allah.” H.R. Tirmidzi.  Dalam riwayat Ahmad ditambahkan, “Dan barangsiapa yang merasa susah hati, maka baginya kesusahan hati.”

  1. Menyedari bahawa akhir daripada rasa susah yang memuncak adalah sabar yang terpaksa, dan sabar yang terpaksa tidak terpuji dan tidak diberi pahala.
  2. Menyedari bahawa penyembuhan yang paling utama adalah menyesuaikan diri dengan kehendak Allah, mencintaiNya dan redha dengan segala ketentuanNya.
  3. Mengetahui bahawa musibah yang menimpa akal fikiran, hati dan agama adalah lebih berat daripada musibah yang menimpa kita dalam kehidupan dunia.
  4. Menyedari bahawa yang memberi musibah adalah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih. Juga menyedari bahawa Allah memberikan musibah itu bukan untuk mencelakakan diri seseorang, bukan untuk menyiksa dan bukan untuk melukai hatinya. Tetapi tujuan yang sebenarnya adalah untuk menguji kesabaran, keikhlasan dan keredhaan seseorang terhadap Tuhan yang menciptakannya dan untuk mendengarkan pengaduannya kepada Allah dengan segala kerendahan hati dan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Syeikh Abdul Kadir berkata kepada anaknya : “Wahai anakku! Sesungguhnya musibah itu tidak datang untuk mencelakakan engkau. Ia datang untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya musibah itu bagaikan binatang buas, dan binatang buas tidak pernah memakan bangkai.

  1. Menyedari bahawa jika tidak ada cubaan dunia dan musibah yang menimpa seseorang, maka orang tersebut akan ditimpa musibah yang lebih besar iaitu penyakit sombong dan kagum terhadap diri sendiri serta keras hati. Musibah pada hakikatnya merupakan rahmat Allah kepada hambaNya. Cubaan tersebut diberikan menurut kadar kemampuan si hamba tersebut.
  2. Menyedari bahawa kepahitan dan kegetiran dunia adalah manisnya kehidupan akhirat, sedangkan manisnya kehidupan dunia merupakan kepahitan hidup akhirat.

Sabda Nabi SAW : “Syurga itu dikelilingi oleh hal-hal yang tidak disenangi, sedangkan neraka itu dikelilingi oleh hal-hal yang disenangi.”


P/S : Setiap hamba akan kembali kepada pemiliknya iaitu Allah Taala. Allah memberikan segala sesuatu kepada hambaNya sebagai barang pinjaman meliputi kesenangan dan kesusahan. Jika Ia mengambilnya, sama halnya dengan orang yang meminjamkan barangnya mengambil kembali barang yang dipinjamkannya. Jadi, bagi orang yang dipinjami, keadaannya sama kembali dengan keadaan sebelum barang itu di tangannya, iaitu tidak memiliki apa-apa. Demikianlah hakikat hidup ini, kita tidak perlu berasa terlalu gembira dengan segala kesenangan yang Allah berikan dan tidak pula terlalu sedih dengan segala kesusahan dan cubaan yang Allah timpakan. Semua itu hakikatnya merupakan ujian yang Allah berikan untuk menguji ketaatan hambaNya kepadaNya. Bersyukurlah sentiasa dengan mengharapkan rahmat Allah. Lihatlah orang yang di bawah sebelum sebelum orang yang di atas.

No comments:

Post a Comment